Perkahwinan pertama tidak bahagia, Chot akui kenal wanita lain sebelum bercerai
PELAWAK Hazmeer Hassan atau Chot menyangkal dakwaan bekas isterinya, Siti Zafirul Azzah penceraian mereka disebabkan kehadiran orang ketiga sebaliknya perkahwinan yang dibina sudah lama bermasalah.
Chot, 33, menjelaskan isteri baharunya, Zurina Badron bukan punca keretakan rumah tangganya malah mendakwa pernah berterus terang dengan bekas isteri tentang hubungannya dengan kakak kepada seorang penyanyi popular tersebut.
“Tidak dinafikan setiap rumah tangga ada pasang surutnya. Kami sudah cuba sehabis baik untuk menyelesaikan masalah itu. Selama bertahun-tahun kahwin, kami masih tidak mampu mencapai kata sepakat dalam banyak perkara.
“Apa yang bekas isteri cakap tentang punca orang ketiga membuatkan dia tidak bahagia, tapi kami memang sudah tidak bahagia pun.
Chot mengakui sudah tidak bahagia dengan perkahwinan pertama.
“Malah sebelum bercerai pun saya sudah beritahu yang saya berkenalan dengan wanita lain. Kami pun dah jelaskan semuanya,”
Dalam pada itu, Chot turut mempersoalkan tindakan bekas isteri membuat kenyataan di hari pernikahannya bersama Zurina sedangkan Azzah sudah maklum tentang perkara itu sejak mereka mengikat tali pertunangan.
Kata Chot, dia tidak menolak sekiranya tindakan dilakukan bekas isterinya itu disebabkan hasutan oleh orang lain.
“Saya tidak faham mengapa dia mahu memperbesarkan isu ini sewaktu di hari pernikahan saya sedangkan daripada kami bertunang pun dia sudah tahu.
“Bagi saya mungkin ada suara-suara ghaib di belakang yang cuba menghasut perkara ini berlaku,” ujarnya.
Mengulas tentang soal nafkah yang dibangkitkan Azzah, Chot memberitahu dia tidak pernah culas menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa terhadap anak lelaki tunggal mereka.
Kami sudah cuba sehabis baik untuk menyelesaikan masalah itu. Selama bertahun-tahun kahwin, kami masih tidak mampu mencapai kata sepakat.
Bagaimanapun, Chot merasakan tindakan yang dilakukan Azzah sedikit sebanyak dapat memberi impak negatif terhadap kerjayanya.
“Saya tidak pernah culas memberi nafkah buat anak kami. Tetapi, kalau dia bertindak untuk memburukkan saya di media sosial, ia secara tidak langsung bakal merosakkan kerjaya saya.
“Kalau saya dah tak ada kerja nanti macam mana nak bagi nafkah? Pada saya, perkara seperti ini tidak perlu dibesarkan di media sosial,” ulasnya.
Azzah mendedahkan bekas suaminya sudah berkahwin dengan Zurina.
Sementara itu, Chot juga memberitahu dia sebenarnya tidak mahu membuka aib rumah tangganya sebelum ini demi menjaga maruah bekas isteri.
Chot juga memohon agar orang luar yang tidak ada kena mengena supaya tidak membuat andaian buruk terhadap dirinya dan keluarga.
“Sebenarnya saya nak cerita pun malu sebab takut buka aib sendiri. Tapi, buat masa sekarang biarlah perkara pun dah jadi.
Bekas isteri Chot mendakwa rumah tangga mereka diganggu orang ketiga.
“Disebabkan itu saya rasa hal-hal rumah tangga tidak perlu dikongsi di media sosial. Saya tidak mahu buka aib sesiapa dan saya berharap agar orang diluar saya yang tidak tahu cerita sebenar berhenti buat spekulasi buruk terhadap saya,” katanya.
Terdahulu, Azzah mendedahkan pelawak itu sudah mendirikan rumah tangga dengan kakak penyanyi terkenal slain memberi bayangan perkahwinan mereka berakhir gara-gara orang ketiga.
Untuk rekod, Chot dan Azzah mendirikan rumah tangga pada 18 Julai 2017 dan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ahmad Sher Hayyaz yang kini berusia empat tahun.
Pada 23 Januari lalu, Chot mendirikan rumah tangga dengan Zurina yang berstatus janda anak tiga.