Perkenalan awal di set Kampung People bibitkan rasa cinta, Rashidi kongsi detik awal hubungannya dengan Wan Hasliza

Perkenalan awal di set Kampung People bibitkan rasa cinta, Rashidi kongsi detik awal hubungannya dengan Wan Hasliza

Rashidi Ishak, 50, mendedahkan dia dan isterinya iaitu pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin, 51, membuat keputusan untuk berkahwin kira-kira tiga bulan lalu selepas berkenalan ketika terlibat dalam penggambaran drama Kampung People sekitar tiga tahun lalu.

Tambah pemain gitar kumpulan band alternatif Dead Mushroom sebelum bergelar pelakon itu, tiada sesiapa yang mengetahui hubungan itu termasuklah ahli keluarga sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Kami mula rapat selepas drama Kampung People 2. Saya pun banyak melakukan kerja belakang tabir bersama dia. Apabila kenal hati budi barulah ajak berkahwin kira-kira tiga bulan lepas” – Rashidi

Anak-anak juga tidak mengetahui ketika Rashidi mula rapat dengan Hasliza.

“Sebelum itu tiada siapa tahu tentang hubungan kami. Ada dalam kalangan rakan-rakan yang dapat hidu, tetapi mereka diamkan sahaja. Lepas setuju nak kahwin barulah kami berjumpa keluarga kedua-dua belah pihak.

“Kawan-kawan rapat pun baru tahu dua minggu lalu semasa kami nak berkahwin dan mereka memang terkejut,” katanya kepada mStar.

Menurut Rashidi lagi, dia selesa merahsiakan perhubungan mereka daripada pengetahuan umum dan tidak berkongsi mengenai perkara itu di sosial media.

Bersyukur urusan pernikahan berjalan lancar, aktor ini memberitahu dia terlebih dahulu berbincang dengan dua orang cahaya mata hasil perkahwinannya sebelum ini bagi meneruskan hasrat perkahwinan itu.

“Bagi saya kalau kita simpan kisah peribadi dan tidak terlalu kongsi di media sosial ia akan jadi lebih mudah. Pada usia begini saya pun tak mahu tertekan kalau terlalu bercerita hal kami sebelum ini.

“Perkahwinan melibatkan dua keluarga dan mestilah semuanya kena terima serta setuju. Saya bincang dahulu dengan anak-anak tentang hal ini,” jelasnya.

Pada Khamis, Rashidi dan Hasliza melangsungkan pernikahan di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Rashidi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM200, sebentuk cincin dan lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Terbuka untuk terus bekerjsama dengan isteri dalam mana-mana drama, Rashidi juga mengambil sikap profesional jika Hasliza duduk di kerusi pengarahan.

Rashidi senang bekerjasama dalam dalam produksi sama dengan isteri.

“Mestilah akan lebih banyak bekerjasama dengan isteri selepas ini kerana saya pun terlibat dalam pasukan kreatif syarikat produksi sama.

“Jika dia bertindak sebagai penerbit atau pengarah, saya perlu hormat dan profesional dalam kerja,” ujarnya.

Untuk rekod, Rashidi pernah berkahwin dengan aktres Vanidah Imran pada 1 Oktober 2000 namun rumah tangga yang dibina selama 17 tahun itu berakhir dengan perceraian pada 9 Ogos 2018.

Mereka mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Mikhail Imran, 22 dan Mariyam Rashika yang kini berusia 19 tahun.