Perlekeh Amiruddin : Wargamaya percaya Sanusi tuju kepada Azmin Ali, bukannya Sultan Selangor

Perlekeh Amiruddin : Wargamaya percaya Sanusi tuju kepada Azmin Ali, bukannya Sultan Selangor

Pemerhati politik percaya sindiran Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional, Sanusi Mohd Nor terhadap Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari baru-baru ini ditujukan kepada Azmin Ali, bukannya Sultan Selangor.

Ini selepas Azmin Ali merupakan individu yang mencadangkan nama Ahli Parlimen Gombak itu menggantikannya sebagai Menteri Besar selepas dia melepaskan jawatan itu selepas dilantik sebagai Menteri Ekonomi kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Nama Azmin menjadi panas selepas dikaitkan melobi untuk sekali lagi dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya Perikatan Nasional berjaya menguasai jumlah kerusi DUN dalam Pilihanraya Negeri akan datang.

Pencalonan Azmin walaubagaimanapun ditentang keras oleh rakan parti komponen PN, apabila pemimpin Pas Selangor turut mencalonkan beberapa nama lain untuk kerusi MB.

Perkara tersebut menyebabkan calon ‘poster boy’ PN di Selangor gagal dinamakan, malah manifesto PRN PN Selangor juga berdepan masalah.

Semalam Berita Harian melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R, berkait agama, kaum dan institusi diraja.

Ia termasuk kenyataan terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu yang didakwa menghina dan memperlekehkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ucapan ketika berceramah pada program anjuran PN.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkannya ketika ditanya sama ada PDRM ada menjalankan siasatan ke atas Muhammad Sanusi, sambil memaklumkan, pihaknya membuka 61 kertas siasatan berkaitan isu 3R sejak 27 Mac lalu.

“Kita buka kertas siasatan berkaitan isu 3R membabitkan ahli politik, bekas ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain Muhammad Sanusi, kita turut siasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan membabitkan Muhamad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, dibuka semalam.

Katanya, siasatan dijalankan oleh pasukan khas ditubuhkan Bukit Aman bagi kes-kes sedemikian dan dijangka dapat diselesaikan dengan cepat atau dalam tempoh seminggu.

“Siasatan dijangka ambil masa tujuh hari, kita akan siasat dengan cepat berbanding biasa dengan siasatan dijalankan oleh ‘task force’ 3R.

“Isu 3R ini kerap dimainkan, terutama apabila hampir Pilihan Raya Negeri (PRN). Saya sudah beritahu bahawa perkara-perkara sensitif, apa-apa juga perkara sensitif yang membabitkan 3R, kita akan siasat,” katanya.

Katanya, kes 3R disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Kertas siasatan yang sudah lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kadang-kadang ada pihak bercakap terlampau seronok tanpa memikirkan perasaan orang lain, fitnah dan mengaibkan. Apa jua perkara sensitif babit 3R kita akan siasat segera, mana-mana pihak yang didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, tular video ceramah Muhammad Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Berikutan itu, PKR Cabang Shah Alam hari ini membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan yang disifatkan sebagai menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat itu.

Ketua Penerangannya, Suryamuizzudin Kamarudin, berkata PKR Shah Alam menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Muhammad Sanusi yang saban hari menjadikan pentas ceramah politik PN untuk menghambur penghinaan terhadap pimpinan negara.

“Ucapan itu menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat menerusi kenyataan-kenyataan beliau yang bersifat perkauman dan menunggang ajaran Islam.

“Ucapan Muhammad Sanusi ini secara terang bersifat menghina Sultan Selangor dan tidak dapat diterima oleh rakyat Selangor yang kasih dan menghormati institusi diraja di negeri ini,” kata Suryamuizzudin menerusi satu kenyataan.