Permintaan naik bagi tuak sempena Hari Raya Aidilfitri
Tuak yang juga dikenali nira kelapa lebih sinonim semasa Ramadan namun permintaan yang tinggi sempena Aidilfitri mendorong pengusaha meningkatkan hasil tuaian.
Pengusaha Mohd Suhaimi Jusoh, 47, berkata pada masa ini dia mampu mengeluarkan produk tuak sebanyak 100 liter sehari dengan bantuan anak-anak.
Beliau berkata permintaan meningkat kerana pelanggan menggunakan tuak untuk dijadikan ‘nise’ cair (manisan gula melaka cair) dicicah bersama rendang atau ketupat tawar pada hari pertama Syawal.
Selain itu, terdapat permintaan tuak segar untuk dinikmati di hari raya bersama dengan juadah lain.
“Permintaan terhadap tuak untuk dijadikan manisan cair bertambah memandangkan pelanggan mengutamakan keaslian rasa tanpa dicampur dengan gula,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada setiap tahun menjelang Aidilfitri dan Aidiladha terdapat permintaan terhadap tuak untuk dijadikan manisan asli terutama dalam kalangan pembuat ‘nise kerek’ di beberapa daerah termasuk dari Bachok, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.
“Ramadan tahun ini, permintaan meningkat menyebabkan kami terpaksa menambah tempahan botol mineral sebanyak 20,000 unit, modal kos tambahan kepada RM10,000 dan peti sejuk beku dari lima kepada sembilan unit bagi kegunaan tuak ‘frozen’,” katanya.
Tuak juga dijual ke pasaran antarabangsa iaitu ke Singapura dan Korea Selatan dengan menggunakan bantuan ejen jualan di Johor.
“Bagaimanapun, terdapat kekangan seperti tuak dalam bentuk cecair menjadi bergas dan mudah meletup manakala bagi tuak sejuk beku pula melibatkan kos pos yang tinggi,” katanya sambil menambah pelanggan dan pembekal tetap tuak kebanyakan dari Kuala Lumpur, Johor, Melaka dan Pahang.
Mengulas mengenai proses mendapatkan cecair tuak, ia memerlukan kemahiran mengikat bagi melenturkan hujung pucuk baru kelapa (mayang) kata Mohd Suhaimi yang mengambil masa enam bulan untuk mahir.
Bekas pekerja bidang pertanian itu berkata lebih 200 pokok kelapa ditanam untuk mengutip tuaian.