Permohonan bubar DUN ditangguhkan, tindakan Raja Nazrin undang pujian ramai

Permohonan bubar DUN ditangguhkan, tindakan Raja Nazrin undang pujian ramai

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak masih belum dibubarkan sementara menanti pertimbangan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, terhadap permohonan pembubaran yang dipersembahkan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Memetik Malaysiakini, beliau berkata hasrat berkaitan pembubaran DUN telah dipersembahkan kepada Baginda dalam sesi menghadap hari ini.

“Tadi saya telah serah warkah permohonan pembubaran DUN ke-14 untuk pertimbangan Sultan Perak selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

“Pada sesi itu, Sultan Nazrin bertitah bahawa Baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.

“Oleh yang demikian, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumum selepas Tuanku berkenan membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen Ke-14, Perdana Menteri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, agar mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya negeri dan parlimen diadakan serentak.

Saarani berkata ketika menghadap, beliau turut menyembah maklum mengenai syor Perdana Menteri supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi pembubaran DUN, untuk membolehkan pilihan raya diadakan secara serentak.

Beliau berkata kuasa untuk membubarkan DUN adalah di bawah kuasa Sultan Perak dan perjalanan serta pentadbiran kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa, sehingga Baginda membuat pertimbangan.

Tanpa meletakkan jangkaan masa atau tarikh bagi Sultan Nazrin mencapai keputusan, Saarani berkata : “Ia bergantung kepada kebijaksanaan Tuanku.”

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu).