Permohonan gugur Gopal Sri Ram tidak diterima, Rosmah seinci lagi ke penjara

Permohonan gugur Gopal Sri Ram tidak diterima, Rosmah seinci lagi ke penjara

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa peguam kanan, Gopal Sri Ram layak untuk mendakwa Rosmah Mansor dalam perbicaraan rasuahnya berkaitan projek solar bernilai RM1.25 bilion yang masih berjalan.

Memetik laporan portal FMT, panel tiga hakim yang diketuai hakim Mahkamah Persekutuan, Zawawi Salleh berkata, mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi relief perisytiharan yang dipohon oleh Rosmah bagi menggugurkan Sri Ram sebagai peguam pendakwaan kes itu.

“Kami bersetuju dengan alasan yang dikemukakan Mahkamah Rayuan. Kami berpendapat tiada bidang kuasa sedia ada untuk memberikan relief perisytiharan,” kata Zawawi yang bersidang bersama hakim Vernon Ong dan Zabidin Mohd Diah.

Zawawi berkata, ini kerana undang-undang bertulis seperti Akta Mahkamah Kehakiman, Kaedah-kaedah Mahkamah dan Akta Relief Spesifik hanya memberikan kuasa sedia ada kepada mahkamah sivil.

Katanya, Kanun Prosedur Jenayah ialah undang-undang lengkap dan komprehensif berkaitan prosedur dalam prosiding jenayah.

“Oleh itu persoalan mahkamah jenayah mempunyai kuasa kehakiman untuk memberikan relief yang dipohon tidak timbul. Rayuan itu ditolak.”

Susulan keputusan hari ini, Sri Ram boleh hadir di Mahkamah Tinggi pada 7 Julai ini apabila hakim Zaini Mazlan menyampaikan penghakimannya pada penutupan kes pembelaan.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016.

Pada 6 Dis lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram dan mengisytiharkan perbicaraan rasuahnya yang masih berterusan terbatal.

Panel tiga hakim yang diketuai Hanipah Farikullah turut membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan itu.