Pernah disenarai hitam, Muhyiddin enggan ambil risiko bawa Hadi ke Saudi

Pernah disenarai hitam, Muhyiddin enggan ambil risiko bawa Hadi ke Saudi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula esok hingga 11 Mac ini dalam usaha memperkasa hubungan dua hala dengan negara Asia Barat berkenaan membabitkan pelbagai bidang terutama dalam hal ehwal Islam dan perdagangan.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Arab Saudi sejak beliau dilantik pada 1 Mac 2020 atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada April 2020.

Perdana Menteri dijangka diberikan sambutan rasmi di Istana Yamamah, Riyadh pada 9 Mac sebelum menghadap secara maya ke atas Raja Salman, pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera

Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi selain hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman serta majlis makan rasmi.

Di UAE pula, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamad Zayed Al Nahyan; Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata atas dasar keakraban dan hubungan yang telah terjalin sekian lama di antara kedua-dua negara, Malaysia memenuhi jemputan daripada Arab Saudi itu.

Lawatan berkenaan dikendalikan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE.

“Perdana Menteri adalah ketua kerajaan pertama dijemput oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan dari Persidangan Al-Ula pada 5 Januari 2021,” katanya.

Sebagai sebuah negara Muslim yang moden dan progresif, hubungan kedua-dua negara merangkumi spektrum kerjasama yang luas termasuk termasuk perdagangan, pelaburan, hal ehwal Islam,

pendidikan dan hubungan sesama manusia.

“Justeru, lawatan ini bukan sekadar memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada, malah turut memberi peluang untuk menjalin peluang kerjasama baharu di dalam pelbagai bidang seperti teknologi dan inovasi, serta kerjasama dalam bidang tenaga.

“Pengstrukturan semula ekonomi Arab Saudi yang sedang dilaksanakan berpandukan Visi 2030, telah memperluaskan lagi skop peluang kerjasama antara Malaysia-Arab Saudi,” katanya.

Lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi yang dianggap penting bakal memberi tumpuan kepada sembilan fokus dalam rangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu ke peringkat lebih strategik.

Ini termasuk menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (HLSC) peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala yang membuka ruang kepada perundingan berkala di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, antaranya, isu politik keselamatan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca COVID-19, urusan Haji dan Umrah, keselamatan makanan dan perdagangan minyak kelapa sawit.

Selain itu, lawatan Muhyiddin juga memberi tumpuan kepada pemacuan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang akan menyumbang kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua-dua negara.

Ia termasuk cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia–Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kolaborasi di antara kedua-dua negara dalam kerjasama pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Selain itu, aspek pengukuhan kerjasama dalam bidang Haji dan Umrah dengan pemeteraian inisiatif ‘Mecca Road Service’ akan turut diberi perhatian yang akan memudahkan proses prapelepasan

jemaah Haji dan Umrah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.

Perbincangan itu akan turut membabitkan isu kuota Haji, serta prosedur Haji dan Umrah bagi jemaah dari Malaysia.

Aspek peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala dijangka turut disentuh termasuk dalam sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui yang akan membabitkan kerjasama dalam bidang teknologi baharu, seperti hidrogen, tenaga angin dan penangkapan karbon.

Kedua-dua negara akan turut berkongsi maklum balas berkaitan usaha menghadapi COVID-19 termasuk kesannya kepada sosioekonomi kepada kedua-dua negara.

Dalam aspek perdagangan, perbincangan dijangka bertumpu kepada meneroka pasaran baharu bagi eksport kelapa sawit di Arab Saudi, serta rantau Asia Barat dan Afrika selain pengukuhan kerjasama dalam bidang industri halal antara badan persijilan kedua-dua negara.

Selepas Arab Saudi, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke UAE pada 9 Mac hingga 11 Mac yang mana akan menumpukan usaha peningkatan hubungan dagang kedua-dua negara selaras dengan kedudukan negara berkenaan sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat.

“Kedudukan UAE yang juga hab perdagangan dan kewangan antarabangsa menjadikan UAE sebagai rakan yang penting bagi Malaysia untuk meneroka pasaran baharu, manakala Malaysia adalah negara pintu masuk yang penting bagi produk dan perkhidmatan dari UAE ke Asia Tenggara,” katanya.

Berikutan cabaran pandemik COVID-19, lawatan ini akan menjadi pemangkin kepada daya tahan dan pertumbuhan, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan keselamatan makanan, kesihatan dan pertukaran diplomasi

Di UAE, Perdana Menteri akan menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

Ia termasuk berkaitan kerjasama dalam fasa pemulihan wabak menerusi teknologi, inovasi dan ekonomi.

Satu Memorandum Persefahaman mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia-UAE

dijangka turut dimeterai.

Perdana Menteri akan turut menyentuh mengenai pengukuhan kerjasama dalam industri minyak dan gas

termasuk kerjasama antara peserta industri dari Malaysia dan UAE dalam kegiatan perniagaan sedia ada, serta potensi peluang dalam sektor huluran (upstream) dan hiliran (downstream).

Antara perkara lain yang akan turut diberi tumpuan ialah penubuhan Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman dan hubungan antara kedua-dua negara di samping mempromosikan konsep tadbir urus baik, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan toleransi antara agama. – BH