Pernah selamatkan suami hampir lemas cetuskan bibit awal percintaan ratu terjun, Nur Dhabitah

Pernah selamatkan suami hampir lemas cetuskan bibit awal percintaan ratu terjun, Nur Dhabitah

Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri tampil berkongsi detik perkenalannya dengan suami yang juga pelawak dan pelakon, Jiggy Masin selepas mereka selamat bernikah dalam satu majlis tertutup pada Jumaat lalu.

Menerusi video yang dimuatnaik di laman Instagram miliknya, Dhabitah, 23, memberi bayangan yang kedua-duanya mula jatuh cinta antara satu sama lain ketika menjalani satu sesi penggambaran sebuah program televisyen.

Dalam video itu menunjukkan Dhabitah menyelamatkan Jiggy atau nama sebenarnya, Mohamad Aizat Ahmad Nazri, 33, daripada lemas di sebuah kolam renang dan cuba memberikan bantuan kecemasan kepada pelakon berkenaan.

Menerusi keterangan pada gambar dan video yang dimuat naik itu, Dhabitah menulis: “What a plot twist you were” bersama emoji hati.

Hantaran itu mendapat komen yang mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pengantin baharu itu termasuklah daripada rakan-rakan dalam kalangan atlet negara.

Antara yang memberikan komen dan ucapan tahniah adalah rakan sepasukan Dhabitah dalam skuad terjun negara, Ooi Tze Liang dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Turut memberi tahniah, penerjun, Wendy Ng dan bekas ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi.