Persatuan pengguna anggap penarikan subsidi barang asas bukti Kerajaan Gagal

Persatuan pengguna anggap penarikan subsidi barang asas bukti Kerajaan Gagal

Keputusan kerajaan tidak meneruskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai kegagalan Putrajaya menjaga kebajikan rakyat khususnya berkait sekuriti makanan.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu berkata, dasar pertanian negara sejak 1984 yang seharusnya mampu menangani krisis bekalan makanan dalam jangka panjang telah gagal.

“Kerajaan tidak ada pelan jangka panjang berhubung sekuriti makanan dalam negara. Walaupun sekarang kita ada dasar pertanian yang mampan ia tidak cukup kerana kegagalan perancangan di pihak kerajaan.

“Ini semua kegagalan polisi kerajaan, bukan kegagalan rakyat. Kerajaan tak boleh lepas tangan (tarik semula subsidi),” katanya kepada FMT.

Sektor pertanian negara didasari oleh Dasar Pertanian Negara (DPN) 1 1984-1991, DPN 2 1992-1997, DPN 3 1998-2010 dan kemudian Dasar Agromakanan 2011-2020, sebagai kesinambungan DPN 3.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan bahawa harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harganya di pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.

Mengulas perkembangan itu, Marimuthu menjangka majoriti harga barangan asas akan meningkat sehingga 20%.

“Tidak mustahil, harga barang asas akan naik sehingga 20% selepas subsidi ini ditarik balik pada 1 Julai nanti… dan mungkin juga akan naik lebih lagi bagi sesetengah barangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan supaya menangguhkan projek mega untuk tempoh dua tahun ini dan menyalurkan dana berkenaan untuk menampung subsidi barangan asas.

“Semua subsidi (yang ditarik ini) adalah subsidi asas, bukan subsidi mewah. Apa yang kerajaan boleh buat dalam tempoh jangka pendek ini adalah tunda projek mewah untuk pastikan sekuriti makanan stabil.

“Kerajaan kena pastikan makanan cukup di atas meja, jika tidak kes kecurian akan bertambah, masalah sosial dan perceraian juga akan banyak berlaku kerana beban tanggungan ketua keluarga yang semakin bertambah,” katanya.

COMMENTS