Persatuan Penulis bantah longgarkan syarat kemasukan konstabel polis

Persatuan Penulis bantah longgarkan syarat kemasukan konstabel polis

Kenyataan Media Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tentang kelonggaran syarat kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk jawatan konstabel polis.

1. Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan semula keputusan untuk melonggarkan syarat bagi permohonan jawatan konstabel tanpa kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

2. Pandangan ini berdasarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan sebagai teras identiti negara bangsa.

3. Kelonggaran yang diberikan kepada calon bukan Bumiputera itu agak aneh kerana menolak ketetapan yang dibuat sendiri oleh kerajaan sebelum ini.

4. Ini menggambarkan seolah-olah keputusan terdahulu tidak bijak atau sistem pendidikan kita gagal dalam memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu sedangkan kelemahan pelajar itu lebih disebabkan kurangnya keprihatinan mereka terhadap mata pelajaran bahasa Melayu atau kurangnya semangat patriotik di samping kesan daripada kewujudan sekolah vernakular.

5. Penolakan syarat tersebut ketika negara sudah lebih 63 tahun merdeka merupakan langkah ke belakang yang akan merencatkan pemartabatan bahasa Melayu di negara ini.

6. Setelah sekian lama merdeka, negara tidak lagi boleh bertolak ansur sedemikian rupa hanya dengan alasan untuk mencari calon yang boleh berbahasa Cina, Tamil atau bahasa ibunda yang lain.

7. Langkah tersebut akan menyebabkan kaum bukan Bumiputera tidak lagi berusaha untuk menguasai bahasa Melayu sedangkan itulah landasan Dasar Perpaduan Nasional yang diproklamasikan oleh kerajaan sendiri.

8. Bahasa Melayu akan terus dipandang rendah, tidak lagi bernilai ekonomi, dan tidak menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sekiranya nilainya direndahkan sendiri oleh agensi kerajaan.

9. Pengecualian kepada calon yang tidak lulus kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu itu seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu sahaja yang wajar dikorbankan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara.

10. Perkara ini menyambung tragedi bahasa kebangsaan yang sudah sekian lama dijadikan bahan tawar-menawar apabila timbul sesuatu permasalahan.

11. Sebenarnya sudah ramai pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang dan mencapai kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Kekurangan permohonan untuk menjadi polis barangkali disebabkan mereka tidak berminat dengan pekerjaan tersebut.

12. Kami juga menaruh kebimbangan seandainya calon anggota polis “istimewa” ini terdiri daripada pelajar yang kurang baik dan tidak cemerlang semasa persekolahan mereka, akibatnya nanti akan lebih memburukkan imej institusi kepolisian.

13. PENA memahami keperluan PDRM untuk mendapatkan anggota yang mahir bertutur dalam bahasa Cina dan Tamil.

14. Masalah ini dapat diatasi dengan melaksanakan kursus kecekapan dan kemahiran berbahasa etnik lain dalam kalangan anggota sedia ada dan pegawai baharu yang akan dilantik.

15. Sepatutnya anggota polis terdiri daripada calon yang berintegriti tinggi serta memahami dan menerima status bahasa Melayu sebagai syarat penting untuk menjadi warganegara kerana kerjaya polis sangat tinggi maruahnya.

•••
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden PENA
14 Mac 2021