Persetujuan runding 27 kerusi kritikal dgn Pas buktikan UMNO tidaklah sekuat yang dicanang Zahid

Keputusan rundingan membabitkan 27 kerusi kritikal Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk kemungkinan memerlukan kerjasama antara UMNO dan PAS akan diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO tidak lama lagi.
Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan itu perlu melalui struktur sedia ada dalam parti berkenaan.
“Dia parti (UMNO), ini semua keputusan parti (perlu) melalui proses struktur dalam parti, dalam parti ada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Sebelum MKT itu ada Biro Politik (putuskan) dan MKT (kemudian) akan buat sebarang keputusan tentang apa jua berkaitan parti (termasuk) keputusan (mengenai kerjasama dengan PAS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Ladang Ayam FELCRA di Kampung Kubang Palas, di sini, hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata, rundingan dengan PAS bagi 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), adalah satu cadangan yang perlu diberi pertimbangan tetapi bergantung keputusan MKT UMNO.
Ismail berkata ia bagi mengelak pertembungan di kerusi kritikal yang mungkin boleh memenangkan parti pembangkang.
Selain itu PAS dalam Muktamar Tahunan baru-baru ini turut memutuskan untuk tidak menutup pintu rundingan dengan UMNO bagi berdepan PRU-15.
Dalam pada itu Mahdzir turut memaklumkan, sehingga kini kalangan lima pemimpin teratas parti itu masih belum membincangkan mengenai tarikh pilihan raya umum (PRU).