Pertahan Zuraida, Kamaruddin Jaafar beri bayangan ikut jejak teman baiknya

Pertahan Zuraida, Kamaruddin Jaafar beri bayangan ikut jejak teman baiknya

Pemimpin parti politik diingatkan agar cermat dalam mengeluarkan kenyataan terbuka berhubung penarikan diri Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Amaran itu diberikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Kamarudin Jaafar yang menegaskan, beliau menghormati pemimpin parti-parti politik dan mereka juga perlu menghormati partinya.

“Kalau saya boleh menyeru kepada semua pimpinan politik supaya agak cermat dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang terbuka.

“Saya fikir kalau semangat kita untuk membantu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita berilah ruang kepadanya untuk membuat pertimbangan yang sebaiknya untuk negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bandar Tun Razak di sini semalam.

Kamarudin berkata, sebagai anggota Bersatu, beliau mengharapkan tindakan yang diambil Zuraida tidak dijadikan bahan serangan politik oleh pihak tertentu kononnya terdapat kelemahan dalam Bersatu sehingga keputusan sedemikian dibuat.

Ini kerana, katanya, sikap seperti itu tidak akan memberi apa-apa keuntungan bagi mengekalkan keamanan, kestabilan seta pembangunan semula masyarakat dan negara selepas pandemik Covid-19.

“Apa yang terjadi merupakan perkembangan politik yang kita perlu ambil perhatian. Saya fikir ia tidak akan semestinya menjadi negatif kepada parti (penarikan diri Zuraida) sebabnya kehadiran Zuraida ke mesyuarat-mesyuarat parti tidak sangat menggalakkan.

“Jadi, ini bermakna parti berjalan tanpa penglibatan aktif daripada beliau sendiri…oleh itu penarikan dirinya daripada parti itu dari sudut itu tidak akan mengurangkan pimpinan sedia ada walaupun ketika beliau jadi ahli parti,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik berkata, tindakan Zuraida keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) menandakan parti itu semakin lemah.

Sehubungan itu, Ahmad menggesa undang-undang anti-lompat dibentangkan di Parlimen pada Julai ini walaupun tiada sidang khas.

Bagaimanapun kenyataan Ahmad itu dibidas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang memberi amaran agar Ahli Parlimen Pontian itu mengelak daripada membuat kenyataan yang angkuh.

Hamzah menegaskan, keputusan seseorang individu untuk keluar tidak ada kaitan dengan parti.