Pertemuan dua wakil PKR bersama Azmin cetus kemungkinan berlakunya Langkah Sheraton 2.0
Di tengah-tengah spekulasi berkaitan masa depannya bersama Bersatu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dikatakan bertemu dengan dua wakil PKR.
Perkara ini didedahkaan beberapa orang pemimpin kanan PKR kepada Malaysiakini yang tidak mahu identiti mereka didedahkan.
Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu berlangsung pada Rabu lalu (15 Jun) di Hotel Sheraton di Petaling Jaya.
“Ia berlangsung selama sejam,” kata satu sumber.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Azmin semalam dan masih menunggu maklum balasnya.
Azmin bagaimanapun pagi ini mengeluarkan kenyataan yang antaranya menegaskan komitmen kepada Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.
Kedudukan Azmin kini menjadi perhatian selepas sekutu lamanya Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu dan menyertai platform baru Parti Bangsa Malaysia (PBM) bulan lalu.
Menurut sumber-sumber, pertemuan itu turut mempunyai kaitan dengan kesetiaan kumpulan anggota parlimen yang menyokong Azmin.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dikatakan sedar berkaitan pertemuan itu. Usaha mendapatkan komen pejabat Anwar setakat ini belum berhasil.
Ditanya sama ada Anwar mempertimbangkang untuk membawa masuk Azmin ke dalam PKR kembali, sumber-sumber berkata mereka tidak pasti.
Bagaimanapun, satu sumber berkata Anwar mempunyai sejarah berdamai dengan musuh-musuh politiknya, seperti dalam kes Mahathir Mohamad.
“Jika Anwar dapat maafkan Mahathir sebelum ini, apa lagi yang mustahil dalam politik?” soal sumber itu.
Azmin, bekas timbalan presiden PKR dan orang kanan Anwar, meninggalkan parti itu selepas penjajaran semula politik yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton” yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).