Pertemuan PSC dan SC bincang isu Azam Baki dijadual esok akhirnya ditangguh

Pertemuan PSC dan SC bincang isu Azam Baki dijadual esok akhirnya ditangguh

Pertemuan antara Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung ekonomi dan kewangan membabitkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang dijadual esok, ditangguhkan.

Menurut laporan portal FMT, PSC dijadual melakukan pertemuan dengan SC di ibu pejabat agensi itu di Kuala Lumpur, pada 9 pagi, esok, bertujuan membincangkan kontroversi membabitkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

“Pengerusi PSC sudah dimaklumkan bahawa perbincangan dengan SC, esok, akan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kelak,” kata kemas kini yang dihantar kepada ahli PSC.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, memberitahu FMT, berkata beliau tidak mengetahui alasan di sebalik tindakan penangguhan itu.

Terdahulu, Azam berkata, beliau bersedia berdepan PSC berhubung pemilikan sahamnya dalam syarikat senaraian awam selagi mana ia dilakukan mengikut lunas undang-undang.

Azam juga menafikan sebarang salah laku, dan mengatakan adiknya yang menggunakan akaun dagang untuk membeli saham.

Pada 18 Januari lalu, SC dalam kenyataannya, tidak menemui kepastian muktamad bahawa Azam Baki melakukan kesalahan berhubung isu pemilikan saham dalam syarikat tersenarai pada 2015-2016.

Dalam kenyataan ringkas, SC menyatakan ia telah menjalankan siasatan dan berdasarkan bukti yang ada “SC tidak dapat memastikan secara konklusif berlaku kesalahan bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).”