Peruntukan RM600juta : Jawatan TPM umpan sokongan

Peruntukan RM600juta : Jawatan TPM umpan sokongan

Selepas muncul dakwaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggunakan ‘kuasa veto’ untuk menolak jawatan timbalan perdana menteri (TPM) dan memutuskan kerjasama dengan Bersatu, seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu tampil memberi penjelasan.

Enggan namanya didedahkan, ahli MT terbabit berkata isu jawatan TPM dibangkitkan pihak tertentu dalam mesyuarat mereka di Janda Baik, Pahang, Jumaat lalu.

Katanya, cadangan tersebut dibangkitkan dengan harapan Umno akan menerimanya.

Alasan yang diberikan ahli MT berstatus menteri itu, kata sumber berkenaan, ialah Umno akan hilang peruntukan RM600 juta jika jawatan itu disandang orang lain.

Menurut sumber itu lagi, nama yang disebut mungkin akan mengisi jawatan tersebut ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Mohamed Azmin Ali.

“Terdapat empat orang daripada ‘kluster menteri’ yang bersuara agar Umno terus bekerjasama dengan Bersatu tapi cadangan mereka itu tidak disambut oleh ahli MT yang lain. Sebab itu tidak ada pengundian,” katanya.

Istilah “kluster menteri” itu merujuk kepada pemimpin Umno yang dilantik menyertai kabinet Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod ketika ini ada sembilan ahli parlimen Umno dibawa menyertai kabinet dengan jawatan paling kanan ialah naib presidennya Ismail Sabri Yaakob.

Dirancang kluster menteri

Ahli parlimen Bera itu adalah satu-satunya wakil Umno yang berada dalam barisan empat menteri kanan. Dua yang lain adalah pemimpin Bersatu – termasuk Azmin – dan seorang ahli parlimen Sarawak.

Daripada sembilan menteri itu yang paling menonjol dan dianggap selalu cenderung kepada Bersatu ialah Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa.

Bagaimanapun sumber itu memberitahu Malaysiakini cadangan untuk Umno menerima jawatan TPM itu bukanlah datang daripada Ismail Sabri atau Annuar.

“Sebenarnya muslihat utama ‘kluster menteri’ itu dalam mesyuarat malam tersebut ialah supaya Umno menerima jawatan TPM. Dia berhujah TPM ada peruntukan khas RM600 Juta, maka amat rugi jika Umno terlepas jawatan ini kepada Azmin,” katanya hari ini.

Gambar fail

 

Namun, setelah dijelaskan oleh Ahmad Zahid bahawa Umno tidak pernah menerima tawaran jawatan TPM sama ada secara hitam putih atau secara lisan mereka terkedu.

“Maka terdedahlah rupanya cerita jawatan TPM ini dibangkitkan dalam MT berkenaan kerana ia dirancang oleh kluster menteri yang kemaruk mahu Umno menjadi TPM,” tambahnya lagi.

Semalam, memetik sumber dalaman Umno Malaysiakini melaporkan parti terbabit membuat keputusan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu serta PN sebaik saja darurat berakhir.

“Umno membuat keputusan mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik saja ‘darurat kesihatan’ tamat. Presiden mengumumkan perkara itu dalam mesyuarat MT Umno.

“Umno juga tidak akan menerima sebarang pelawaan berkait dengan jawatan TPM,” katanya.

Bagaimanapun Umno dalam kenyataannya selepas itu menafikan dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu, ahli MT berkenaan berkata tidak timbul isu presiden menggunakan kuasa veto kerana tiada pengundian dibuat ketika mesyuarat berkenaan.

“Tidak timbul soal Zahid menggunakan kuasa veto dalam isu nak putuskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU ke-15 nanti kerana tiada pengundian berlaku, jadi tidak ada keputusan majoriti atau manoriti, justeru tak timbulah isu kuasa veto.

“Mesyuarat tersebut hanya mengesahkan pendirian 147 ketua bahagian dan 118 bahagian yang menjadikannya usul Umno bahagian supaya parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU ke-15,” katanya.

Namun, kata sumber terbabit, ahli Parlimen Umno akan terus kekal menyokong kerajaan PN sehingga tarikh PRU akan datang.

Jelasnya, Umno akan menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan MT Umno berkenaan. – MK