Petani jadi kayaraya hasil jual air mani kerbau, jana pendapatan RM130,000 sebulan

Petani jadi kayaraya hasil jual air mani kerbau, jana pendapatan RM130,000 sebulan

 

SEORANG petani dari Kalasin, Thailand membuat pendedahan mengejutkan apabila memaklumkan dirinya berjaya meraih keuntungan sebanyak 1 juta baht (RM130,879) setiap bulan dengan menjual air mani daripada seekor kerbau jantan ternakannya.

Kerbau yang diberi nama ‘Big Billion’ itu sering menerima tawaran lumayan daripada penternak kerbau air dari seluruh wilayah di Thailand untuk mendapatkan air maninya.

Malah, air mani Big Billion dikatakan pernah menerima tawaran sebanyak 30 juta baht (RM3.9 juta)!

Kebanyakan penternak menggunakan air mani kerbau jantan itu untuk disenyawakan dengan kerbau betina mereka dengan harapan dapat melahirkan generasi baru kerbau yang ‘cantik’ dan sihat, dan dapat dijual dengan harga yang mahal seperti ‘bapa’ mereka.

Menurut pemilik Big Billion, Mongkol Mongphet, walaupun haiwan itu menjana pendapatan menerusi air mani, tenaganya turut dikerah untuk aktiviti pertanian.

Selain itu, najisnya turut digunakan sebagai baja organik untuk menyuburkan padi serta tanaman lain tanpa penggunaan bahan kimia lain.

Kebanyakan kerbau yang diternak di Thailand turut dipertandingkan di peringkat kebangsaan untuk mempamerkan kecantikan dan kekuatan masing-masing.

Terdapat lebih 20 ekor kerbau pertandingan yang diternak di ladang Mongkol, tetapi Big Billion adalah ‘wira’ di antara kerbau yang lain, katanya.

Mongkol membeli Big Billion enam tahun lalu dengan harga 500,000 baht (RM65,511).