Petua nak elak nasi cepat basi, hanya perlu ikuti langkah dengan bakar periuk
Menanak nasi putih di dalam kuantiti yang banyak merupakan salah satu ‘amalan’ suri rumah bagi memastikan ia cukup untuk dinikmati oleh seisi keluarga.
Lebihan nasi yang tidak dapat dihabiskan pula boleh disimpan untuk diolah menjadi masakan baharu sebagai contohnya, nasi goreng buat sarapan keesokkan harinya.
Namun amalan ini juga boleh menjadi satu bentuk pembaziran sekiranya nasi putih yang telah dimasak dengan banyak itu basi dengan cepat tidak 24 jam disimpan.
Sekiranya tidak mahu pembaziran ini berlaku, pembaca bolehlah mengikuti panduan yang dikongsi pengguna platform media sosial TikTok dikenali sebagai Fadhli Khobin.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di platform itu, Fadhli memberitahu bahawa punca nasi basi bukanlah berpunca daripada jenis beras mahupun periuk.
“Kadang-kadang, nasi cepat basi bukan disebabkan beras. Berikut saya kongsikan tips untuk mengelakkan perkara itu berulang dalam perkongsian kali ini,” katanya.
1. Pertama sekali, cucikan periuk yang digunakan untuk menanak nasi sehinggalah ia betul-betul bersih terlebih dahulu.
2. Selepas selesai mencuci, periuk itu bolehlah mula ‘dibakar’ dengan meletakkannya secara telingkup di atas dapur. Kemudian, hidupkan api dalam kadar yang perlahan.
3. Biarkan periuk di dalam kedudukan yang sama sehingga sekitar lima minit ataupun sehingga air basuhan sebentar tadi menjadi kering.
4. Siap dan boleh terus menanak nasi seperti biasa. Jika tidak mahu bakar di atas dapur, periuk tersebut juga boleh dijemur di tempat panas buat seketika.
“Untuk teknik ini, hampa (anda) boleh amalkan setiap sebulan sekali juga sudahpun mencukupi. Jadi, kalau ada teknik yang lebih baik, boleh kongsi di ruangan komen.” Jelasnya.
Setakat artikel ini ditulis, panduan yang dikongsi Fadhli Khobin ini berjaya meraih lebih daripada setengah juta tontonan dan 16,500 tanda suka oleh pelayar TikTok.
@fadhlikhobin Tip Elak Nasi Cepat Basi #tipmasakan