PH perlu bergerak bersama 108 Ahli Parlimen Pembangkang
Pakatan Harapan (PH) perlu bergerak ke hadapan dengan kekuatan 108 Ahli Parlimen pembangkang yang bersama menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Ahli Parlimen Pulai itu berpendapat, kenyataan Presiden partinya, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung cadangan satu anjakan politik baharu diperlukan adalah untuk memastikan gabungan itu bergerak ke hadapan dengan kekuatan yang ada.
Menurut Salahuddin, kenyataan dua pemimpin utama PH itu, bagaimanapun, tidak menyebut tentang kegagalan mana-mana individu sebaliknya mahu pakatan itu bergerak bersama dengan kekuatan 108 Ahli Parlimen.
Jelas beliau, jumlah 108 itu adalah bukti kesetiaan semua Ahli Parlimen pembangkang yang tidak boleh dipersiakan.
“Kita berjaya untuk bersama dengan nombor 108, dari keputusan itu kita melihat inilah kumpulan pembangkang walau apa pun pandangan setelah Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) keluar dari PH yang asal.
“Rakan-rakan yang ada bersama pembangkang tetap satu suara dan itulah kita dapat 108… inilah yang kita katakan pengaruh dalam kawalan kita.
“Inilah Ahli-ahli Parlimen yang masih bersama kita dan mereka membuktikan kesetiaan kepada blok pembangkang,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas kenyataan mengejar bayang-bayang yang disuarakan oleh Mohamad dan Guan Eng, Salahuddin berkata, perkara itu terbukti dengan undi yang diberikan pihak yang kononnya mahu bersama menolak Belanjawan 2021 tapi akhirnya tetap menyokong.
“Adapun dengan apa yang dikatakan mengejar bayang-bayang itu telah terbukti, mereka yang dikatakan akan menyokong kita, kalau tak silap 25 kali di peringkat jawatankuasa dan bacaan kali ketiga namun mereka tidak boleh mmebuktikan sokongan kepada pembangkang.
“Jadi dari situlah lahir satu penegasan bahawa kita perlu bertolak ke hadapan dengan 108, dan kita akan pastikan angka 108 itu utuh.
“Dari sinilah kita menganjak menjadi satu kuasa dan kita akan berusaha mengamit pula pengaruh-pengaruh yang lain untuk kita berdepan PRU akan datang,” kata beliau lagi.
Terdahulu, Mohamad dan Guan Eng menggesa gabungan itu membuat satu anjakan politik untuk menyatukan seluruh blok pembangkang.
Dua pemimpin kanan PH itu menegaskan sudah tiba masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.
Mohamad dan Guan Eng menegaskan, undian belanjawan Selasa lalu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.