Pihak polis disaran pertingkat protokol pengiring kenamaan

Pihak polis disaran pertingkat protokol pengiring kenamaan

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa pihak berkuasa supaya mempunyai protokol kawalan trafik yang selamat dan jelas bagi memastikan pengguna jalan raya lain selamat, apabila laluan mereka bertembung pengiring orang kenamaan.

Cadangan dibuat susulan video tular di media sosial menunjukkan dua kereta terbabit dalam perlanggaran selepas mereka terpaksa berhenti mengejut bagi memberi laluan kenderaan orang kenamaan berhampiran Hornbill Skyways di Kuching.

Menurut Yii, difahamkan konvoi itu didakwa membabitkan rombongan Ketua Menteri.

Yii berkata, polis yang bertugas sepatutnya merawat mangsa kemalangan terlebih dahulu sebelum membenarkan pengiring meneruskan perjalanan.

“Kita bernasib baik kerana ia hanya membabitkan dua kereta dan tiada yang cedera parah.

“Ia juga berlaku pada waktu bukan puncak, jika sebaliknya, ia mungkin lebih teruk atau menyebabkan lebih banyak kesesakan lalu lintas,” katanya seperti dilaporkan portal akhbar FMT.

Yii menambah, rombongan kenamaan itu sekurang-kurangnya keluar atau meminta pembantu memeriksa mangsa kemalangan bagi menunjukkan mereka mengambil berat

“Dalam kejadian ini, sangat mengejutkan kerana semua kenderaan rombongan terus berlalu, memberikan persepsi bahawa keselamatan awam tidak menjadi kebimbangan mereka.

“Amalan sedemikian, termasuk SOP dan protokol untuk pengiring kenamaan, mesti dikaji semula dan diperbaharui.”

Beliau berkata, cadangannya juga susulan satu lagi insiden yang tular di media sosial sebelum ini, di mana ambulans telah diarah untuk memberi laluan kepada pengiring kenamaan, yang merisikokan nyawa pesakit dalam ambulans.