Pilihanraya Negeri : Sama ada UMNO Johor derhaka titah Sultan atau turutkan kehendak presiden?

Pilihanraya Negeri : Sama ada UMNO Johor derhaka titah Sultan atau turutkan kehendak presiden?

Meskipun berdepan dilema antara mentaati titah Sultan ataupun arahan presiden parti, UMNO Johor dijangka telah pun membuat pendirian mengenai kemungkinan berlakunya pilihanraya negeri dalam masa terdekat.

Ianya berlaku susulan kematian Osman yang juga Adun Kempas bulan lalu, menjadikan gabungan kerajaan Johor yang dipimpin Umno hanya mempunyai majoriti satu kerusi.

Malah, tidak lama selepas itu, timbul pula desas desus bahawa seorang ADUN Bersatu juga bakal meninggalkan parti tersebut untuk menjadi ADUN bebas bagi memberi laluan kepada pilihanraya negeri diadakan.

ADUN yang dimaksudkan, Mazlan Bujang yang memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa pada pilihanraya umum ke-14 lalu. Sumber dalaman memberitahu, namanya pernah dicalonkan sebagai MB beberapa kali, namun dicantas oleh Muhyiddin sendiri demi memberi laluan kepada ‘orang presiden’ kononnya.


.

Meskipun enggan melayan khabar angin tersebut, namun dari jawapan yang diberikannya ketika menjawab soalan wartawan seperti disiarkan portal akhbar Harian Metro pula bernada sebaliknya.

“Politik ini kita tidak tahu apa akan jadi akan datang. Hari ini jadi kawan, esok jadi musuh, yang musuh boleh jadi kawan.

“Dalam perlembagaan kita ada hak kebebasan untuk sertai apa jua parti selagi tiada perubahan dari segi undang-undang, kita bebas untuk sertai apa jua parti,” katanya.

Sementara itu, Zahid juga tidak menolak kemungkinan wujud satu Pilihanraya Negeri Johor dalam masa terdekat.

Katanya seperti dilaporkan portal akhbar Utusan Online, pilihanraya negeri bukanlah suatu perkara baharu untuk UMNO hadapi, lantas persediaan sudah dibuat sejak pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan setelah Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“PRN ini bukan satu perkara baharu yang berada dalam keluarbiasaan sekiranya PRN Johor itu perlu kami untuk menyertai,” katanya.

“Bila dan apa juga keputusan yang dibuat oleh SPR, kita akan mematuhi sepenuhnya. Kesiapsiagaan tentu bahawa jentera kita telah melakukan pendekatan operasi sejak beberapa lama yang lalu ketika kita hadapi PRK di beberapa tempat.

“Tahap keyakinan mesti berdasarkan sains dan data dahulu, sebelum bubar kami tidak boleh menyatakan keyakinan atau sebaliknya tetapi tentu rakyat mahu keputusan lebih baik dari PRU-14,” tambahnya lagi ketika ditanya peluang kemenangan di Johor berbanding PRN Melaka.

Namun, yang menjadi persoalannya sekarang ini ialah samada UMNO berjaya meyakinkan Istana Besar Johor bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN.

Ramai berpendapat ianya seolah dilihat melanggar titah yang dibuat sendiri oleh Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sewaktu sesi pembukaan sidang DUN di Johor 12 Ogos tahun lalu.

Dalam titahnya ketika itu, baginda memberi amaran kepada ahli politik di negeri itu supaya tidak melakukan percubaan mengganggu-gugat kerajaan negeri, dan menggesa mereka menumpukan usaha membantu rakyat.

“Saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,”

Namun perkembangan terkini menunjukkan usaha mendapatkan perkenan Taunku Sultan Johor semakin cerah.

Ianya dikongsikan menerusi satu hantaran Facebook oleh mantan MB Johor yang juga merupakan Naib Presiden UMNO. Khaled Nordin baru-baru ini, di mana dia meluahkan kegembiraan kerana diberi perkenan oleh Tuanku Sultan Johor menghadap baginda.

Meskipun dijelaskan tujuan pertemuannya sekadar bertanya khabar Tuanku Sultan Johor, namun dikala situasi politik Johor yang semakin terumbang-ambing ini, ramai yang mengesyaki ianya lebih dari sekadar pertemuan bertanya khabar.

Lagipun cakap orang politik, siapalah yang nak percaya bulat-bulat kan?