Pilu!!! Ahli keluarga dirawat Covid-19, warga emas bersendirian ditemui meninggal dunia di bilik air

Pilu!!! Ahli keluarga dirawat Covid-19, warga emas bersendirian ditemui meninggal dunia di bilik air

Kerisauan seorang wanita terhadap ibu saudaranya yang gagal dihubungi dan tinggal seorang diri selepas ahli keluarga lain dirawat di hospital kerana positif COVID-19, terjawab apabila warga emas itu ditemui meninggal dunia di rumahnya di Bukit Punggur, Alai, di sini, hari ini.

Warga emas itu, Rohana Ramli, 74, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasukan bomba di dalam bilik air rumahnya kira-kira jam 8.55 pagi tadi.

Anak saudaranya, Norazlina Md Daut, 45, berkata kali terakhir dia berhubung dengan ibu saudaranya kira-kira jam 11 pagi semalam dan panggilannya tidak dijawab pada sebelah petang sehingga malam tadi.

Beliau berkata, Rohana atau dipanggil Mak Ngah tinggal seorang diri selepas suaminya yang dijangkiti COVID-19 dirawat di Hospital Melaka, manakala anak lelakinya pula berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama akibat jangkitan pandemik.

“Disebabkan bimbang keadaan Mak Ngah yang tidak dapat dihubungi dari petang hingga malam tadi, saya kemudian terus menelefon talian kecemasan pagi tadi meminta bantuan untuk memeriksa keadaannya.

“Saya tidak menduga ini berlaku, sekarang anak sulungnya yang berada di Selangor sudah dimaklumkan pemergian ibunya,” katanya.

Norazlina berkata, selain suami dan anak bongsu Rohana, turut disahkan positif COVID-19 adalah menantu serta dua cucu yang kini dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MITC, Ayer Keroh.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu bergegas ke lokasi kejadian.

“Bomba terpaksa memecahkan pintu memandangkan ia terkunci sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pegawai perubatan yang hadir kemudian melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Sumber – Berita Harian