Pilu!!! Bayi 14 hari antara yang meninggal dunia dalam kemalangan

Pilu!!! Bayi 14 hari antara yang meninggal dunia dalam kemalangan

Seorang wanita serta bayi perempuannya maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki mereka melanggar pembahagi jalan di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi, suami mangsa, 34, serta anak lelaki mereka berusia empat tahun dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku ketika kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari arah Ampang menghala ke Lembah Jaya.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta itu hilang kawalan hingga terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Penumpang kereta iaitu isteri pemandu terbabit berusia 28 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

“Salah seorang anak pasangan terbabit iaitu seorang bayi perempuan berusia 14 hari dilaporkan parah dan disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, seorang lagi anak pasangan terbabit iaitu kanak-kanak lelaki dilaporkan parah, manakala pemandu kereta itu pula mengalami cedera ringan dan mereka dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.27 malam.

“Seramai lapan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta Proton Saga terbabas membabitkan empat mangsa.

“Tiga daripada mangsa dihantar ke Hospital Ampang oleh orang awam, manakala seorang lagi mangsa tersepit di tempat duduk penumpang hadapan berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian.

“Bagaimanapun, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – HM