Pintu gril dikunci ibu ayah yang keluar, 2 beradik ditemukan rentung di Selangor

Pintu gril dikunci ibu ayah yang keluar, 2 beradik ditemukan rentung di Selangor

Dua beradik ditemukan rentung selepas rumah kanak-kanak berkenaan terbakar di Jalan Simpang Tiga, Kampung Tanggut, dekat sini hari ini.

Memetik Utusan Online, mayat Muhammad Al Qayum Muhammad Faizan, 7, dan kakaknya, Nur Syaza Alfisya, 10, ditemukan di bilik utama rumah mereka selepas bomba memadamkan api kira-kira pukul 4.43 pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, dua beradik berkenaan tinggal bersendirian dan sedang tidur.

Kata beliau, ibu bapa kanak-kanak berkenaan dikatakan keluar dan pintu gril terkunci.

“Mayat kedua-dua kanak berkenaan ditemukan berhampiran katil mereka berkemungkinan cuba menyelamatkan diri tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Norazam berkata, pasukan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.54 pagi sebelum dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gombak dan Rawang tiba di lokasi kejadian.

“Sampai di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan rumah teres kelas A  70 peratus.

“Setakat ini, operasi masih diteruskan bagi kerja-kerja overhaul,” jelasnya.