PKR cadang umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

PKR cadang umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

KERAJAAN digesa mempertimbangkan dasar baru susulan kebenaran pengeluaran khas kali terakhir Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, iaitu melanjutkan usia persaraan kepada umur 65 seperti yang disyorkan oleh Bank Dunia.

Saranan itu dibuat oleh Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean yang berpendapat langkah itu perlu dilakukan bagi meningkatkan kembali simpanan KWSP pencarum selepas empat kali pengeluaran khas.

“Kerajaan masih perlu mencari penyelesaian yang bersifat jangka panjang kepada kesan empat kali pengeluaran KWSP ini.

“Kesan tiga kali pertama pengeluaran KWSP oleh rakyat telah mengakibatkan hampir 50 peratus daripada pencarum KWSP mempunyai baki simpanan tidak sampai RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebenaran mengeluarkan KWSP pada kali keempat oleh Kerajaan tanpa merancang penyelesaian seawalnya adalah tidak bertanggungjawab dan bersifat populis semata-mata.

“Oleh itu, Kerajaan digesa mempertimbangkan dasar baru, iaitu melanjutkan usia persaraan kepada umur 65 seperti yang disyorkan oleh Bank Dunia.

“Bank Dunia mencadangkan agar umur persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun secara berperingkat untuk meningkatkan simpanan pencarum dan secara tidak langsung meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 0.3 peratus setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan juga harus menggalakkan industri pekerjaan swasta dan awam mewujudkan perjawatan kerja sambilan untuk meningkatkan penglibatan pekerja yang beusia.