PKR Perak bergegar, Anwar lantik Boon Chye ganti Farhash

PKR Perak bergegar, Anwar lantik Boon Chye ganti Farhash

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dilantik sebagai Ketua PKR Perak sementara, menggantikan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang melepaskan jawatan Ketua PKR Bahagian Kuala Kangsar untuk bertanding di Bahagian Gombak dalam pemilihan parti April ini.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, Lee yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan akan menyandang jawatan itu sehingga pemilihan parti selesai akhir April ini, lapor portal FMT.

“Ketetapan parti adalah untuk melantik Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri hanya di kalangan Ketua Cawangan,” tulisnya di Facebook selepas mesyuarat dengan MPN Perak.

Isnin lalu, Farhash dilaporkan akan bertanding jawatan Ketua Bahagian Gombak pada pemilihan PKR yang dijadualkan pada 22-29 April ini.

Ini kerana, beliau berharap menjadi Ketua PKR Gombak baharu dan seterusnya menentang Ahli Parlimen kawasan itu, Azmin Ali serta ADUN Gombak Setia, Hilman Idham pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Farhash yang membantu memantapkan PKR di Perak.

Beliau juga menasihatkan pimpinan Perak terus memfokuskan usaha memantapkan jentera parti bagi menghadapi PRU15.