PM Singapura, isteri dikurnia darjah kebesaran Johor seminggu selepas warga OKU Malaysia dihukum gantung
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching dianugerahkan darjah kebesaran utama negeri Johor oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam majlis di Istana Besar Johor Bahru.
Lee dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran “Dato”.
Manakala Ho pula, menjadi warga Singapura pertama dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) yang membawa gelaran “Datin Paduka”.
“Hubungan Johor dan Singapura terjalin sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi oleh Istana Johor ini terus mengukuhkan hubungan dua hala.
“Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura atas peranan beliau selama ini dalam mengeratkan hubungan Singapura dan Johor,” kata Sultan Ibrahim dalam kenyataannya, hari ini.
Istana Johor sebelum ini pernah mengurniakan darjah kebesaran kepada beberapa pemimpin republik itu sebagai lambang persahabatan dan hubungan erat antara Johor dan Singapura.
Ia termasuk bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang dikurniakan SPMJ pada 9 April 1984 bersempena Ulang Tahun Keputeraan ke-52 Sultan Iskandar Sultan Ismail.