PM tegaskan cukai wajib dibayar, mahu LHDN buru semua termasuk ‘kawan’ Anwar

PM tegaskan cukai wajib dibayar, mahu LHDN buru semua termasuk ‘kawan’ Anwar

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tidak mengamalkan sikap pilih bulu dalam melaksanakan tugas.

Menurut Anwar, organisasi itu perlu memburu mereka yang culas membayar cukai termasuklah dari kalangan kenalan atau penyokong beliau sendiri.

Katanya, LHDN harus lebih agresif dalam mencari jalan bagi memastikan rakyat menunaikan tanggungjawab dalam membayar cukai.

“Sama ada kenalan saya atau tidak, penyokong saya atau tidak, cukai wajib bayar dan LHDN wajib menggeledah dan cari helah-helah (elak bayar cukai).

“Selagi saya diamanahkan untuk memimpin kerajaan ini, saya mahu rakyat sama ada kecil atau maha kaya tunduk kepada hukum dan tidak terlepas membayar cukai,” katanya.

Tambah Anwar, telah menjadi kewajiban LHDN bagi memastikan orang atasan dan kenamaan tidak terlepas dari genggaman mereka.

Kerana, tidak adil sekiranya mereka yang mempunyai penghasilan yang besar mencuba pelbagai cara untuk mengelak dari membayarnya.

Sedangkan, mereka yang berpendapatan rendah seperti penjawat awam dan peniaga kecil tiada masalah untuk melunaskan cukai.

Menteri Kewangan itu turut mengingatkan agar petugas LHDN untuk tidak terjerumus dalam wabak rasuah yang telah mendarah daging di Malaysia.

“Harus ada permulaan yang tegas dan keras untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita daripada kebobrokkan sistem yang merosakkan. Ia bermula dengan kita,” ulasnya.