PM umum tol percuma 2 hari sempena Tahun Baru Cina

PM umum tol percuma 2 hari sempena Tahun Baru Cina

 

Pengecualian bayaran tol akan diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara membabitkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Januari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pengecualian bayaran tol selama dua hari itu akan membabitkan peruntukan RM40 juta.

“Berita baik, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan (sudah) adakan perbincangan dengan syarikat pengendali lebuh raya bagi ditiadakan (bayaran) tol pada 20 dan 21 Januari ini.

“Ini bagi memudahkan rakyat bukan hanya berbangsa Cina tetapi juga Melayu dan India untuk pulang bercuti,” kata beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada 22 dan 23 Januari ini.

Anwar turut menitipkan pesanan agar mereka yang pulang bercuti supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan.