PMX akhirnya dedah punca kedai Swatch diserbu pihak berkuasa

PMX akhirnya dedah punca kedai Swatch diserbu pihak berkuasa

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata serbuan pihak berkuasa terhadap kedai Swatch baru-baru ini bukanlah mengenai warna jam tangan yang dijual di kedai berkenaan, sebaliknya berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mempunyai butiran mengenai kes itu dan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan penjelasan.

“Biar KDN jelaskan, ini bukan isu warna tetapi (difahamkan unsur) LGBT diletakkan pada jam terbabit, maafkan saya, kerana saya masih belum melihat perinciannya,” katanya ditemui selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor hari ini.

KDN sebelum ini menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

 Antara koleksi Pride. - Foto Swatch Malaysia

Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei lalu itu diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Koleksi jam yang dirampas itu terdiri daripada pelbagai warna pelangi, simbol yang diterima pakai oleh komuniti LGBT.

Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Swatch berkata firma itu kecewa dan prihatin dengan rampasan jam tangan berwarna pelangi yang meraikan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Kami lantang mencabar bahawa koleksi jam tangan kami yang menggunakan warna pelangi dan membawa mesej keamanan serta kasih sayang boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja,” kata ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Nick Hayek dalam kenyataan kepada Reuters.

Jam tangan “Koleksi Pride” pembuat jam tangan Switzerland itu dicipta untuk meraikan pergerakan ‘pride’ dan membawa mesej kesamarataan dan kepelbagaian.

Warna-warni pelangi melambangkan pergerakan LGBT, yang menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks.

Syarikat itu berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula jam tangan tersebut, lapor akhbar Switzerland Tages-Anzeiger.