PMX ‘offer’ Pas sertai Kerajaan Perpaduan

PMX ‘offer’ Pas sertai Kerajaan Perpaduan

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau pernah menjemput PAS menganggotai Kerajaan Perpaduan pada tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, PAS sebaliknya bertindak menolak tawarannya ketika itu.

Namun begitu, beliau memberi ‘jaminan’ tidak akan menghalang kerjasama dengan parti berkenaan jika ia wujud pada masa akan datang.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengesahkan perkara itu ketika ditemu bual Time Magazine yang disiarkan secara dalam talian semalam.

“Mengenai sama ada kita bersedia untuk membabitkan diri dengan mereka (PAS), sudah tentu kita lakukan bahkan kita mesti.

“Dan saya telah menghantar (jemputan kepada mereka). Ya saya terbuka dengan idea itu sejak awal lagi.

“Lagipun, ini Kerajaan Perpaduan dan kita lakukan yang terbaik demi untuk negara kita,” katanya.

Mengenai syarat ditetapkan untuk PAS menyertai Kerajaan Persekutuan, Anwar berkata syarat yang menjadi dasar utama ialah parti itu perlu menerima Malaysia sebuah negara berbilang agama dan setiap rakyatnya mempunyai tempat, meskipun Islam ialah agama Persekutuan.

Ditanya apa reaksi PAS terhadap syarat terbabit, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, tiada penolakan jelas atau maklum balas positif.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi gambaran pintu untuk PAS menyertai Kerajaan Perpaduan belum ditutup rapat.

“Saya tidak mahu menghalang (PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan). Sudah tentu ia bergantung kepada syarat dasar utama ini mesti diterima,” katanya.