PMX umum berita baik untuk pesawah, subsidi padi naik kepada RM500 setiap tan mulai esok

PMX umum berita baik untuk pesawah, subsidi padi naik kepada RM500 setiap tan mulai esok

 

Kerajaan mengumumkan kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik berkuatkuasa esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan langkah itu bermakna pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan metrik dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan golongan itu.

Menurutnya, kenaikan kadar SSHP itu melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan dengan itu, jumlah peruntukan SSHP akan mencecah RM1 bilion setahun.

“Saya telah arahkan supaya langkah ini dilaksanakan segera dan berkuatkuasa pada hari esok.

“Kenaikan kadar SSHP melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan dengan itu, jumlah peruntukan SSHP akan mencecah RM1 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Chan Foong Hin serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Anwar, ia merupakan kenaikkan terbesar SSHP sejak beliau menjadi Menteri Kewangan kira-kira 25 tahun lalu.

“Pelaksanaan ini kita tak mahu tunggu lama, pelaksaannya kita umum hari ini, esok naik

“Namun pesawah kena ingat, kita (negara) banyak hutang iaitu RM1.5 trilion tetapi saya cari juga, berapa peruntukkannya? Ia mencecah RM1 bilion peruntukkan tambahan untuk pesawah setahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited untuk menyemak semula mekanisme penggredan padi berdasarkan parameter pengilangan iaitu daripada segi kualiti, kelembapan dan kebersihan varieti padi.

“Ini bagi menjamin harga yang berpatutan dan adil kepada pesawah padi,” katanya.

Menurut Anwar, inisiatif yang diumumkan itu diharap dapat meningkatkan pendapatan sara diri pesawah dan memastikan keterjaminan makanan ruji negara terus meningkat.

“Dalam masa yang sama ia merealisasikan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam menaik taraf sosioekonomi pesawah dan menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat,” katanya.