PN dakwa MP Kuala Kangsar diugut, bakal didakwa jika enggan sokong kerajaan

PN dakwa MP Kuala Kangsar diugut, bakal didakwa jika enggan sokong kerajaan

 

Perikatan Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendakwa tindakan menakut-nakutkan Iskandar Dzulkarnain itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Hamzah mendakwa, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa untuk bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

“Sebelum itu, pada 26 September 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri, yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di sebuah lokasi sekitar Damansara.

“Beliau ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.

“PN mengutuk keras tindakan Kerajaan Madani yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi dan ugutan terhadap pemimpin pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Iskandar Dzulkarnain dalam satu kenyataan, memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mendakwa, dalam pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Iskandar Dzulkarnain kelihatan amat tertekan akibat tindakan menakut-nakutkan yang dibuat ke atas beliau.

Pada masa sama, Hamzah berkata, PN kesal dengan kenyataan media didakwa dibuat Iskandar Dzulkarnain secara terburu-buru dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeza dengan penjelasan diberi kepada beberapa pemimpin parti.

“PN mendesak kerajaan menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen.

“Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat Biro Politik BERSATU akan memanggil Iskandar Dzulkarnain bagi mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu, Iskandar Dzulkarnian menang kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan memperoleh 14,380 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Maslin Sham Razman yang memperoleh 10,814 undi dan Dr Ahmad Termizi Ramli daripada Pakatan Harapan (10,356 undi) serta calon Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).