PN kerajaan Melayu Islam: Dr Mahathir dakwa bohong

PN kerajaan Melayu Islam: Dr Mahathir dakwa bohong

Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya menyatakan pembohongan berhubung pembentukan kerajaan Melayu Islam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini disebabkan sesebuah kerajaan tidak dapat dibentuk tanpa sokongan ahli Parlimen bukan Melayu dan Islam.

“Mereka hanya bercakap bohong kerana pertama kali anda tidak dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan ahli Parlimen Cina dan India.

“Tidak banyak hanya perlukan dua atau tiga orang cukup kerana majoriti yang diperlukan hanya dua atau tiga orang.

“Kemudian datang ahli Parlimen PKR yang bukan Islam dan mereka (kerajaan PN) dakwa mereka mahu membentuk kerajaan Melayu Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Perjuangan 2021 di sebuah hotel di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, sesetengah pihak mendakwa PN ialah sebuah kerajaan Melayu Islam berbanding PH yang digambarkan pengkritiknya sebagai kerajaan yang dikuasai DAP.

Sementara itu, mengulas mengenai kerajaan tidak akan mendedahkan perjanjian vaksin Covid-19, Dr Mahathir berkata, ia seharusnya dibuat secara terbuka.

“Semuanya harus dibuat secara terbuka. Ini yang kita janjikan. Ini perjanjian kerahsiaan.

“Secara rahsia tidak boleh diterima. Kita perlu tahu segala yang berlaku dalam kerajaan apabila wang kerajaan banyak digunakan,” katanya.

Pada 23 Disember lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung kos pembelian vaksin Covid-19.

Bagaimanapun katanya, ia akan berlaku sekiranya PAC bersetuju untuk tidak mendedahkan butirannya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/117043/BERITA/Politik/Dr-Mahathir-dakwa-kerajaan-PN-bohong