PN Klang ajar polis cara ‘menutup mulut’

PN Klang ajar polis cara ‘menutup mulut’

Perikatan Nasional (PN) Klang hari ini membuat laporan polis susulan isu  dua pekerja lelaki yang didakwa dipukul oleh majikan kerana berpuasa baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat Ketua Penerangan pemuda Bersatu (Armada) Klang, Muhammad Firdaus Khan Mohd Osman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan tengah hari ini.

Muhammad berkata, laporan polis dibuat bagi menggesa pihak berkuasa membuat siasatan menyeluruh dan memberikan hukuman setimpal kepada majikan terbabit sekiranya terbukti bersalah.

“Kami mendesak Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador) sendiri memantau siasatan dan memastikan pelaku menerima hukuman setimpal,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Komuniti PN di Klang selepas laporan dibuat.

Turut hadir Ketua Bersekutu Bersatu Klang D Nallan dan Naib Ketua Bersekutu Bersatu Klang, Roger Tan.

Tambah Muhammad, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak kementerian sumber manusia (KSM) secepat mungkin bagi menyatakan keperluan kes itu disiasat secara teliti dan segera.

Baru-baru ini, tular di media sosial laporan polis yang dibuat oleh dua pekerja lelaki, yang didakwa dipukul secara bergilir oleh majikan mereka kerana berpuasa.

 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

Susulan itu, pihak polis menahan empat individu berusia 38 hingga 46 tahun yang disyaki terlibat dalam kes terbabit.

Mahkamah Majistret Klang semalam juga telah mengeluarkan perintah reman kepada empat individu bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Muhammad berharap agar rakyat tidak menjadikan kes itu sebagai isu perkauman dan menyatakan ia hanyalah isu melibatkan segelintir individu.

“Ingin saya tekankan terlebih dahulu, bahawa kejadian ini bukanlah satu isu perkauman.

“Jadi saya menyeru kepada semua yang berada di luar sana agar tidak menjadikan ia sebagai isu perkauman,” tegasnya. – MK