PN umum senarai lantikan kabinet bayangan, ‘pemburu kelah’ diarah pantau Kementerian KASA
Perikatan Nasional dilaporkan telah pun melengkapkan senarai anggota kabinet bayangan mereka, dipercayai bertujuan memantau prestasi Memteri Kabinet Perpaduan.
Lebih mengejutkan, Tuan Ibrahim yang digelar netizen sebagai ‘pemburu kelah’ gara-gara tular videonya menayang kelah yang ditangkap bersama Nik Zawawi, Timbalan Menteri Pengguna Keluarga Malaysia turut dilantik memantau Kementerian KASA, bekas kementerian lamanya.
Memetik sumber daripada Malaysiakini, kabinet bayangan PN ini jelas didominasi oleh ahli parlimen dari PAS dan Bersatu, dengan seorang wakil dari Sarawak dan Sabah, namun tiada wakil daripada kaum Cina dan India.
Pengerusi kabinet bayangan PN masih mengekalkan Muhyiddin Yassin sebagai “ketua ahli parlimen PN”, manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
Hamzah Zainudin turut dikekalkan sebagai ketua pembangkang.
Antara 26 ahli parlimen itu termasuk bekas menteri daripada pentadbiran Muhyiddin sebelum ini, serta ahli parlimen PN penggal pertama.
Daripada senarai itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin yang juga bekas menteri pendidikan, ditugaskan untuk menerajui kementerian kewangan dan ekonomi.
Ahli Parlimen Indera Mahkota dari Bersatu, Saifuddin Abdullah yang juga bekas menteri luar negeri, ditugaskan ke kementerian pengajian tinggi – portfolio yang pernah dipegangnya sebagai timbalan menteri sewaktu bersama dengan BN.
Ahli parlimen Bersatu penggal pertama yang turut dinamakan ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, yang ditugaskan untuk mengawasi kementerian komunikasi digital, serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk menyelia kementerian luar.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad daripada PAS pula ditugaskan untuk menjaga portfolio hal ehwal agama.
Ahli Parlimen Sarakei Ali Biju dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee adalah satu-satu pemimpin yang mewakili Sarawak dan Sabah.