Poligami politik mampu jaga hati Umno dan Bersatu, lapor Harakah

Poligami politik mampu jaga hati Umno dan Bersatu, lapor Harakah

Sarjana melihat PAS mampu memain peranan bagi merawat dan memperkukuhkan semula kerjasama politik antara Umno dan Bersatu.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, PAS memiliki pengalaman yang begitu luas dalam politik negara.

Malah katanya kerjasama politik yang pernah wujud pada 1973 antara PAS dan Umno dianggap mampu menyelesaikan kemelut antara Umno dan Bersatu sekarang.

“Saya melihat kedudukan kerjasama antara tiga parti dominan dalam kerajaan hari ini seolah-olah ‘poligami politik’ yang mana PAS mampu menjaga hati Umno dan Bersatu.

“Biarpun kedua-dua parti terbabit sering dilihat mempunyai hubungan yang tegang dan berseteru namun PAS mampu mendamaikan parti berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Setiausaha Agung Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menegaskan PAS komited terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai parti utama Melayu iaitu PAS, Umno dan Bersatu.

Malah menurutnya PAS mengambil ketetapan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama sekaligus mempertahan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun Dr Mohammad Tawfik berkata, dalam tempoh jangka pendek ketegangan hubungan Umno dan Bersatu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) dan PN.

Namun katanya, untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 ‘poligami politik’ itu mampu mendamaikan Umno dan Bersatu atas kapasiti penentangan terhadap seteru politik utama mereka iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Malah kedudukan PAS sebagai ‘king maker’ akan berterusan selepas PRU15 akan datang,” ujarnya. – HD