Polis berjaya rampas kereta rasmi bekas Exco Melaka

Polis berjaya rampas kereta rasmi bekas Exco Melaka

Polis merampas sebuah kereta rasmi kerajaan negeri pada Selasa selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee didakwa enggan memulangkan kenderaan itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, tindakan itu dilakukan selepas Norhizam yang juga bekas Exco kerajaan negeri gagal memulangkan kereta Toyota Camry berkenaan seperti yang diarahkan.

Menurutnya, polis kemudian menerima laporan daripada seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berhubung kes itu dan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

“Sehingga kini seramai lima orang saksi telah dirakam percakapan untuk membantu siasatan membabitkan kakitangan Pejabat SUK.

“Kita juga akan memanggil lebih ramai saksi termasuk Norhizam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kereta itu dijumpai di tempat letak kenderaan di Parkland Residence Melaka.

Sumber – Sinar Harian