Polis cedera kena 13 jahitan dirempuh PATI positif dadah, miliki 10 biji pil kuda

Polis cedera kena 13 jahitan dirempuh PATI positif dadah, miliki 10 biji pil kuda

 

Pada hari semalam tular satu rakaman video di mana seorang anggota polis dirempuh penunggang motosikal yang nekad melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Menurut Utusan, penunggang motosikal itu merupakan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Thailand yang positif dadah dan telah merempuh anggota polis berpangkat Lans Koperal semasa cuba melarikan diri sebaik sahaja tiba di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Taman Tengku Anis di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, anggota berkenaan menerima 13 jahitan di bahagian betis selepas dirempuh oleh motosikal yang ditunggang oleh PATI berusia 19 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, semasa melakukan tugas sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh suspek telah cuba melarikan diri dari SJR dengan membuat pusingan ‘U’.

Menurutnya, bagaimanapun motosikal tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar Lans Koperal berkenaan.

“Rempuhan tu menyebabkan anggota polis itu luka pada betis kanan dan dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini untuk rawatan lanjut.

“Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggangnya menemui sebuah kotak rokok mengandungi penyedut minuman yang berisi 10 biji pil kuda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Aminuddin memberitahu, hasil siasatan lanjut, suspek dipercayai bertindak melarikan diri semasa tiba di SJR itu selepas dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika menunggang motosikal selain memiliki dadah. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis memandang serius kes melibatkan pendatang asing yang menunggang atau memandu kenderaan tanpa sebarang dokumen sehingga menyebabkan kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Nik Aminuddin berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu tanpa mengendahkan peraturan jalan raya sehingga menyebabkan kecederaan kepada anggota polis dan mendatangkan kemudaratan kepada harta benda orang awam.