Polis disimbah kopi panas gara-gara cuba menahan anak ulamak atas tuduhan cabul pelajar pondok
Seorang pegawai polis cedera akibat disimbah kopi panas ketika melakukan serbuan di Pondok Pesantren Shiddiqiyyah di Ploso, Jombang, Jawa Timur untuk menangkap anak ulama terkenal yang didakwa mencabul pelajar perempuan.
Lapor Tribunnews, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Giadi Nugroho menceritakan detik-detik disimbah kopi panas oleh seorang individu ketika cuba menahan suspek bernama Much Subchi Azal Tzani atau Mas Bekhi, 42, yang merupakan penjaga di pondok tersebut.
Ketika kejadian, Giadi cuba menahan anak ulama terkenal di Jombang itu yang sebelum ini pernah meloloskan diri ketika dikepung anggota polis.
“Apabila saya memasuki sebuah bilik di bangunan sekolah itu, seorang lelaki dari arah bertentangan bertindak melemparkan termos tanpa penutup yang mengandungi kopi panas.
“Kopi panas tertumpah pada kasut sekali gus terkena pada kulit kaki. Polis kemudian membawa saya ke Hospital Jombang.
“Saya mengalami luka terbakar tahap kedua dengan kira-kira 18 peratus kaki kiri dan kanan saya melecur,” katanya.
Jelas Giadi, selepas menerima rawatan perubatan, dia meneruskan tugasnya untuk menangkap Mas Bekhi.
Sementara itu, Giadi memaklumkan lelaki yang menyimbah kopi panas, juga dinamakan sebagai suspek dan sudah ditahan.
Katanya, suspek itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Jombang dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun kerana menghalang siasatan polis.