Polis Kelantan gempur 100 peserta sertai acara khurafat
4 wanita antara 18 individu yang dikompaun selepas ingkar arahan bersurai ketika terlibat dalam upacara ‘main puteri’ di Kampung Sungai, Bachok, tengah malam tadi.
Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 63 tahun itu dikompaun dengan nilai keseluruhan RM60,000.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata anggota polis dihantar ke kampung terbabit pada pukul 12.30 tengah malam selepas menerima maklumat mengenai aktiviti main puteri (acara perubatan secara tradisional) dan menasihatkan mereka – dianggarkan kira-kira 100 orang – bersurai.
“Bagaimanapun, penduduk yang hadir tetap meneruskan aktiviti itu menyebabkan polis terpaksa ke lokasi kejadian sekali lagi pada pukul 2 pagi dan menahan 18 individu termasuk empat wanita, manakala selebihnya melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini.
Menurut Muhamad Zaki semua yang ditahan – termasuk penganjur – dikompaun antara RM2,000 hingga RM10,000 mengikut Peraturan 8 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang.
“Aktiviti seperti berkumpul beramai-ramai adalah tidak dibenarkan kerana bimbang penularan Covid-19 dan tindakan ini satu pengajaran kepada masyarakat memandangkan kes baru wabak itu di Kelantan masih tidak konsisten,” katanya seperti dilaporkan portal akhbar Malaysiakini.