Polis menahan wanita disyaki muat naik video tular hasutan terhadap Sultan Perak

Polis menahan wanita disyaki muat naik video tular hasutan terhadap Sultan Perak

 

Polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun kerana disyaki memuat naik video yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di akaun media sosial Tiktok @ijaheartfarizahwhitenew, Isnin lalu.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan memaklumkan suspek ditahan di kawasan parkir kereta di Klang, Selangor, hari ini.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y15A serta dua keping kad sim dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Beliau berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Noorsiah turut menasihati orang awam agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.