Polis minta wanita halang kereta bergerak tampil buat laporan
Polis meminta wanita dengan aksi tular menghalang sebuah kereta yang sedang bergerak di persimpangan lampu isyarat di Batu 1, di Port Dickson tampil membuat laporan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 33 saat sekitar jam 9.43 pagi pada Ahad yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @bckupacc99 berhubung kejadian tersebut.
“Perbuatan dan tingkah laku yang dilakukan oleh wanita tersebut boleh membahayakan diri sendiri serta mendatangkan kerisauan terhadap orang awam.
“Setakat ini, pihak polis masih belum menerima apa-apa laporan polis yang dibuat daripada Individu berkenaan berhubung dengan insiden yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan menggugat ketenteraman awam.
“Penyebaran sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.