Polis sahkan tahan Hafidz Roshdi

Polis sahkan tahan Hafidz Roshdi

Pelakon lelaki yang didakwa menumbuk isterinya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata ditahan pihak polis, semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 29 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Memetik Kosmo!Online, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelakon itu ditahan kira-kira 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Kami akan sambung siasatan, selepas suspek bagi keterangan ada perkara perlu diperjelaskan lagi daripada mangsa.

“Menurut suspek pergelutan berlaku disebabkan perselisihan faham antara suami dan isteri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Hussein, siasatan hampir lengkap dalam satu atau dua hari lagi sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Terdahulu, isteri seorang pelakon membuat laporan polis selepas mendakwa ditumbuk oleh suaminya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh.

Kejadian berlaku disebabkan pergelutan di dalam kereta antara suspek dan juga mangsa ketika berada di lokasi kejadian.