Polis sahkan terima laporan kesalahan keempat Neelofa
Polis akan menjalankan siasatan terhadap selebriti Noor Neelofa Mohd Noor yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara itu.
“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang.
“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya menerusi kenyataan media.
Menurutnya, penjelasan berkenaan perkara itu telah dikeluarkan juga oleh KKM apabila kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam bermula 1 Ogos tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, satu siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.
Pada Khamis, kehadiran selebriti berkenaan ke Kompleks Mahkamah Seremban menjadi kritikan netizen apabila beberapa keping foto bidikan media yang tersebar memperlihatkan bayangan hampir separuh wajah Neelofa di sebalik niqab yang dipakai memperlihatkannya tidak memakai pelitup muka.
Sinar Harian melaporkan Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis atas pertuduhan gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) awal Mei lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Neelofa, 32, gagal mematuhi SOP PKPB yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd atau menulis secara manual nama dan nombor telefon yang boleh dibaca sebelum memasuki premis itu.
Muhammad Haris, 26, juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan pertuduhan tidak memakai pelitup muka di tempat awam. – SH