Polis tahan anggota polis mabuk, pandu kereta lawan arus
Seorang anggota polis ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus di Jalan Lingkaran Dalam di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota berumur 25 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di jalan berkenaan kira-kira jam 12.30 pagi.
“Pada pagi itu, polis telah menerima satu rakaman video berkaitan sebuah kereta memandu secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lingkaran Dalam.
“Bertindak atas makluman, polis telah berjaya menahan seorang anggota polis di sebuah stesen minyak di jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati anggota polis tidak bertugas pada masa kejadian dan menggunakan kenderaan persendirian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45A akta sama.
Tegasnya, polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis.