Polis tahan Tok Siak, warga emas cabul dan tunjuk ‘anu’ kepada budak-budak

Polis tahan Tok Siak, warga emas cabul dan tunjuk ‘anu’ kepada budak-budak

 

Polis telah menahan dua lelaki iaitu Tok Siak serta seorang warga emas kerana didakwa mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 3 Mac lalu.

Memetik laporan Kosmo, Timbalan Ketua Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus memaklumkan, laporan berhubung kes tersebut diterima pihaknya sekitar jam 4.53 petang pada hari yang sama.

Tunjuk alat kemaluan kepada mangsa di sebuah tandas dan rumah

Ujarnya, dua individu yang juga warganegara Malaysia berumur 56 dan 74 tahun itu dicekup selepas didakwa menunjukkan alat sulit kepada kanak-kanak tersebut di sebuah tandas surau dan rumah milik suspek di Bukit Sentosa.

“Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat (IPD) Hulu Selangor telah menahan individu berkenaan di dua lokasi berasingan di sekitar kawasan Bukit Sentosa.

“Pemeriksaan ujian air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” jelasnya.

Suspek jalani reman selama tujuh hari

Menurut Asri, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin (4 Mac) hingga 10 Mac ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jelas beliau lagi, pihak polis percaya dengan penangkapan individu berkenaan ia telah dapat menyelesaikan kes tersebut.

“Justeru, kami menasihati orang ramai untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat serta menularkan berita-berita yang palsu,” ucapnya.