Pramugari berhijab : Wanita ISMA beralih harap kepada PM10 selepas kegagalan Siti Zailah

Pramugari berhijab : Wanita ISMA beralih harap kepada PM10 selepas kegagalan Siti Zailah

Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) meraikan kebebasan kod pakaian seragam baharu diperkenalkan Syarikat Penerbangan British Airways kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu.

Ketuanya, Dr Suriani Sudi berkata, British Airways berpangkalan di London itu sudah pasti menerima hakikat betapa majmuknya masyarakat mereka kini yang aktif mengambil bahagian dalam pelbagai industri perkhidmatan.

Beliau berpandangan implementasi pilihan pakaian seragam baharu bersama tunik dan tudung untuk pramugari itu seharusnya menjadi ikutan syarikat penerbangan negara memandangkan Islam agama Persekutuan dan Muslim merupakan penduduk majoriti.

“Malu sekiranya, kerajaan tidak mampu melaksanakan dasar ini dan sehingga sekarang syarat untuk menjadi pramugari mestilah tidak bertudung dan perlu mematuhi etika berpakaian yang telah ditetapkan.

“Ini mengakibatkan sesetengah wanita Muslim terpaksa membuka tudung ketika bekerja dan ada yang menarik diri daripada kerjaya ini sedangkan perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

“Jadi majikan yang meminta pekerja membuka tudung jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” kata Suriani dalam kenyataan di laman Facebook Isma pada Khamis,seperti dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, British Airways memperkenalkan pakaian seragam baharu dengan menyertakan pilihan tunik dan tudung untuk kru kabin wanita sebagai pilihan pertama atau ‘airlines first’.

Dalam pengenalan pakaian seragam baharu itu, kru lelaki pula mempunyai pilihan memakai sut (three-piece suit) manakala wanita boleh memakai gaun, skirt atau seluar bukan sekadar ‘jumpsuit’.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Isma itu berkata, manfaat pilihan uniform baharu itu bukan sahaja kepada pekerja wanita Muslim tetapi kepada semua wanita untuk mempunyai pilihan mengenakan pakaian seragam lebih sopan dan selesa.

“Wanita Isma komited memperjuangkan kebebasan wanita Muslimah untuk mengamalkan tuntutan agama mereka terutama di tempat kerja,” tambah Suriani dalam kenyataan itu.