PRK Batu Sapi: Muhyiddin arah kaji perundangan tangguh pilihanraya, tetap tak mahu bagi laluan pada Warisan

PRK Batu Sapi: Muhyiddin arah kaji perundangan tangguh pilihanraya, tetap tak mahu bagi laluan pada Warisan

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mengarahkan supaya beberapa aspek perundangan dikaji bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah ditangguhkan terlebih dahulu, sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

Perdana Menteri berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara berbuat demikian ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), di mana antara lain prosedur operasi standard (SOP) PRK Batu Sapi dibentang hari ini.

“PRK ini dilihat agak sukar untuk dilaksanakan, ketika pandemik Covid-19 masih memuncak di negeri Sabah pada masa ini,” katanya di dalam catatannya di Facebook.

Muhyiddin berkata sidang MKN turut diberikan penerangan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 dalam negara, di mana beliau menyifatkan ia masih lagi pada tahap membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Sehubungan itu, katanya beliau telah mengarahkan supaya MKN segera menilai semula sama ada aktiviti sosial masih boleh dibenarkan pada ketika ini, selain keperluan untuk memperketatkan lagi SOP pergerakan rentas daerah dan negeri.

Sumber: Malaysiakini