PRK Batu Sapi: Umno mahu semua parti bagi laluan pada Warisan

PRK Batu Sapi: Umno mahu semua parti bagi laluan pada Warisan

Pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi tidak perlu pun diadakan sekiranya semua parti mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada Warisan menyandang semula kerusi itu, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mengulas kebimbangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung pilihan raya yang perlu diadakan ketika wabak Covid-19 ini, Mohamad berkata BN telah membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Bahkan, timbalan presiden Umno juga menggesa semua parti lain mengambil keputusan serupa sebagai menghormati mendiang Liew Vui Keong, bekas ahli parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia pada 2 Oktober.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat.

“Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perutusan khas semalam, Muhyiddin bimbang PRK Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan memburukkan krisis Covid-19 negara, ketika tiada ruang dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri Sarawak untuk ia ditangguhkan.

Kecuali, kata Muhyiddin, darurat diisytiharkan.

Ekoran kematian Liew (gambar, bawah), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 5 Dis, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis.

Mengulas hal itu, Mohamad hari ini berkata beliau faham kebimbangan yang disuarakan Muhyiddin itu.

Bagaimanapun, menjadikan darurat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan dua pilihan raya berkenaan, kata Mohamad adalah langkah yang “tidak perlu” dan “bukan jalan terbaik.”

Tambahnya, sekiranya kerajaan negeri Sarawak berkhidmat sehingga tempoh matang DUN Sarawak iaitu sehingga 7 Jun tahun depan, maka PRN boleh diadakan pada bulan Ogos 2021, iaitu 60 hari kemudian.

“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang,” katanya yang meyakini kebijaksanaan ketua menteri dalam memikirkan kepentingan umum sebelum membubarkan DUN.

Demokrasi berfungsi dalam getir

Mohamad turut menyatakan keyakinannya dengan kewibawaan SPR dalam mengendalikan pilihan raya dalam apa pun keadaan, serta untuk memastikan demokrasi berjalan dengan sebaiknya.

“Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaan paling getir sekalipun.

“Justeru itu, semua pihak mesti menghormati kearifan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” katanya lagi.

Muhyiddin bulan lalu cuba mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah untuk pengisytiharan darurat, tetapi cadangan itu ditolak minggu lepas kerana baginda bertitah tiada keperluan demikian buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” kata Ahmad Fadil.

Meskipun digambarkan sebagai usaha mengekang Covid-19, pengkritik Muhyiddin menyifatkan cadangan darurat itu sebagai usaha presiden Bersatu itu mengekalkan kedudukan sebagai perdana menteri.

Ekoran kematian Liew, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 5 Dis, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis.

Mandat kerajaan negeri Sarawak pula akan berakhir pada Jun 2021. Pilihan raya negeri seharusnya diadakan dalam tempoh 60 hari setelah pembubaran DUN.

Sumber: Malaysiakini