PRK Batu Sapi : Warisan hargai cadangan Umno
Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua menghargai cadangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan supaya semua parti politik memberi laluan terhadap Warisan dalam PRK Batu Sapi susulan situasi semasa di Sabah yang dilanda teruk wabak Covid-19.
Menurut Loretto, keadaan semasa di negeri itu perlu diberi keutamaan memandangkan kuantiti barisan hadapan dan kelengkapan untuk mereka menjalankan tugasan tidak serba lengkap seperti di Semenanjung.
“Berbanding dengan barisan hadapan di Semenanjung yang ramai dan serba lengkap dengan peralatannya, kita serba kekurangan maka kita sepatutnya membantu barisan hadapan kita yang sudah kepenatan dan mencari jalan untuk membantu mereka ini mendapatkan kelengkapan yang sepatutnya.
“Nasib dan kebajikan barisan hadapan kita dalam usaha mereka menangani masalah Covid-19 di negeri ini harus kita utamakan dan cadangan Tok Mat (Mohamad) agar Umno memberi laluan kepada Warisan di Batu Sapi ini amat dihargai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, terdapat barisan hadapan dan doktor-doktor di Sabah yang terlampau penat bekerja tanpa henti berikutan jumlah kes positif yang meningkat di situ.
Dua hari lalu, Mohamad mencadangkan supaya PRK Batu Sapi tidak perlu diadakan sekiranya semua parti mengambil keputusan tidak bertanding dan memberi laluan kepada Warisan memenangi kerusi itu.
Bagaimanapun, Pengerusi Biro Perundangan Armada, Mohamad Siddiq Mohamad Azani semalam menyifatkan cadangan Mogamad itu “tidak munasabah”.
Sebaliknya, Mohamad Siddiq mengulangi cadangan presiden partinya, Muhyiddin Yassin, dengan mengatakan bahawa pengisytiharaan darurat merupakan satu-satunya langkah selamat untuk mengelakkan PRK Batu Sapi.
Sementara itu, Loretto dalam kenyataannya hari ini berkata lebih baik sekiranya ahli politik menggunakan masa yang berbaki dua tahun sebelum pilihan raya umum diadakan dengan menumpukan kepada soal kebajikan rakyat dan ekonomi di negeri itu.
“Tidak salah sekiranya semua kita semua (termasuk calon bebas) bersolidariti berkenaan dengan PRK Batu Sapi agar kita dapat menumpukan soal kebajikan rakyat serta ekonomi negeri yang terjejas akibat daripada wabak ini,” katanya.
Sumber: Malaysiakini